FEBRUARI 2026

JALAN RAYA KE SANTUBONG BAKAL DINAIK TARAF EMPAT LORONG


KUCHING, 13 Februari 2026 – Jalan raya menuju ke Santubong akan dinaik taraf kepada empat lorong bagi menampung peningkatan pembangunan dan pertambahan penduduk di kawasan berkenaan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg berkata, projek naik taraf itu melibatkan laluan dari bulatan berhampiran Wisma Adenan Yayasan Sarawak sehingga ke Pantai Damai, sekali gus memperkukuh jaringan perhubungan ke Santubong.

“Kita nak naik taraf jalan daripada Bulatan (berdekatan Wisma Adenan Yayasan Sarawak) sampai ke Pantai Damai. Jalannya empat lorong, dua lorong menuju ke Kuching dan dua lorong menuju ke Santubong.

“Maknanya tambah jambatan, tambah lorong dan kita buat sekali supaya kawasan ini terus berkembang,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Spektra Permata (RSP) Skim Pembesaran Kampung (SPK) Santubong di sini, pada Jumaat.

Menurutnya, naik taraf itu turut merangkumi pembinaan laluan khas termasuk lorong motosikal dan basikal bagi memastikan keselamatan serta keselesaan pengguna jalan raya.

Katanya, projek tersebut penting memandangkan Santubong kini pesat membangun dengan pelaksanaan pelbagai projek baharu termasuk perumahan, infrastruktur pelancongan serta jaringan jalan.

Beliau menjelaskan, apabila rangkaian jalan baharu siap kelak, lebih banyak tanah akan dibuka untuk pembangunan sekali gus memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat.

“Bila jalan siap, kawasan akan terbuka dan kita boleh bangunkan lagi skim perumahan serta kemudahan lain. Akhirnya Santubong akan menjadi kawasan yang lebih tersusun dan maju,” ujarnya.

Tambah beliau, pembangunan infrastruktur tersebut adalah sebahagian daripada perancangan jangka panjang Kerajaan Sarawak untuk memastikan kawasan Santubong terus berkembang sebagai antara lokasi strategik dan berpotensi tinggi di Kuching.